fbpx

Nelayan asing ceroboh perairan Malaysia diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT nelayan warga Indonesia termasuk tekong ditahan APMM Perak selepas menceroboh perairan negara dan menangkap ikan semalam.

LUMUT – Tindakan sebuah bot nelayan Indonesia menceroboh perairan Malaysia membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak pada kedudukan kira-kira 16 batu nautika barat laut Pulau Jarak petang semalam.

Pengarah APMM Perak, Kapten Shahrizan Raman berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam perairan negara pada pukul 5.40 petang oleh Kapal Maritim (KM) Tugau ketika melakukan rondaan Op Benteng.

“Bot tersebut dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong berusia antara 20 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, kesemua nelayan asing itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Ujarnya, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Perikanan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM6 juta dan kru pula didenda RM500,000 setiap seorang serta penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum setahun.

Di bawah Akta Imigresen 1959/63 pula, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Shahrizan berkata, kru dan tekong bersama bot tahanan dibawa masuk ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu dekat sini dan mereka diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Perak untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan APMM Perak akan meningkatkan kawalan sempadan maritim negara menerusi Ops Benteng.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan meyalurkan maklumat lengkap melalui talian MERS 999, Pusat Operasi Maritim Perak 05-683 8737 atau NTF 011-6251 1123, jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI