fbpx

Main judi sebab bosan PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEKUMPULAN individu yang ditahan ketika berjudi.

GEORGE TOWN – Sekumpulan 20 kaki judi termasuk warga emas diberkas ketika leka mempertaruhkan wang perjudian menggunakan batu mahjung di sebuah rumah teres di Ayer Itam di sini awal pagi tadi.

Mereka terdiri 15 lelaki dan lima wanita berusia 50 hingga 70-an itu diberkas dalam Op Limau yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Semasa serbuan, kesemua mereka sedang leka bermain judi di meja yang disediakan di dalam kediaman yang disewa untuk digunakan sebagai tempat untuk bermain berjudi.

Sumber berkata, warga emas terbabit memberi alasan yang penganjuran aktiviti tersebut disebabkan terlalu bosan tinggal di dalam rumah dalam tempoh yang lama ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu.

“Hasil serbuan, kita merampas peralatan judi, meja dan kerusi serta wang tunai dianggarkan berjumlah RM1,500.

“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan ingkar PKP dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur laut (IPD TL) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Sek.4(1) ARJT 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi mengesahkan laporan tangkapan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akan mengambil tindakan secara berterusan terhadap pelbagai kegiatan haram yang dijalankan di negeri ini terutama sepanjang PKP bagi tujuan membendung penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI