PETALING JAYA – Selepas mendiamkan diri, penyanyi Stacy akhirnya membuka mulut bagi menjawab mengenai kontroversi video muzik lagu Rampas nyanyian Akim & The Majistret.
Stacy atau nama penuhnya Ummu Syaikhah Stacy Anam, 31, berkata, sejujurnya dia tidak marah dengan individu bernama Jade Anh kerana sedar wanita itu bukan rakyat Malaysia dan tidak mengetahui mengenai budaya di negara ini.
Menurut pelantun lagu Kasanova itu, ciapan Akim di Twitter kelmarin ditujukan kepada pihak produksi yang berdegil meneruskan konsep ala Hollywood, sedangkan lagu Rampas adalah berkisar mengenai kehilangan insan tersayang.
“Apabila model sudah dipilih, baru mereka maklumkan mengenai jalan cerita video muzik tersebut. Bukan tak (mahu) salahkan suami, cuma dia pun masih berserabut selepas melalui hari yang sukar kerana ibunya baru meninggal dunia ketika itu.
“Dalam hal ini, saya kecewa dengan orang sekeliling yang sepatutnya menjaga dia dan pihak produksi muzik video itu juga. Produksi itu orang Malaysia, kenapa hendak rakam video ala barat,” luahnya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Jelas Stacy, isu cemburu yang kecoh dalam media sosial kelmarin juga tidak diketahui bagaimana tercetus dan pihak terlibat tidak sepatutnya menjaja namanya dengan mendakwa dia cemburu terhadap Jade yang merupakan kelahiran Vietnam.
“Mereka tidak hormat dengan seni muzik dan tiada etika semasa bekerja. Saya juga penyanyi dan menggunakan khidmat model (dalam video muzik), mesti saya faham,” katanya.
Stacy turut berharap pihak produksi dapat menghormati mesej sesebuah lagu sekiranya ingin menghasilkan video muzik bukannya berkarya mengikut nafsu sehingga mesejnya hilang.
Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita yang terlibat dalam video muzik Rampas memendakwa lakonannya dibuang kerana isteri kepada vokalis kumpulan itu tidak menyukainya.
Akim menjelaskan tindakan dibuat bagi menghormati arwah ibunya.