“AGAMA tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merusak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa.”
Itu antara bait-bait kata penuh bermakna sasterawan dan ulama terkenal Indonesia, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau nama penanya, Buya Hamka.
Penulis terpanggil untuk menyentuh sedikit tentang isu yang dibangkitkan pengarah dan pelakon berbakat besar, Isma Yusoof yang baru-baru ini secara terang-terangan mengakui dirinya adalah seorang transgender atau dalam bahasa kasar dalam masyarakat Malaysia, seorang pondan.
Tolaklah sekuat mana pun, masyarakat Malaysia tidak dapat menghapus realiti bahawa di negara ini wujud komuniti transgender.
Walaupun pada dasarnya, kita semua tidak mengira pegangan agama, jantina (waima golongan transgender dan yang sewaktunya) dan bangsa tanpa mengenal warna kulit, tinggi pendek, bebas menjalani hidup dengan bahagianya di bumi bertuah ini yang berpaksikan kepada Islam sebagai agama rasmi negara ini, dengan tiada kekangan ekonomi. Langsung.
Kalau tidak, masakan pengusaha kosmetik kontroversi Sajat boleh bergelar jutawan hasil perniagaannya yang mendapat sambutan baik dalam kalangan orang ramai.
Berbalik soal Isma atau nama lengkapnya, Muhamad Ismaizal Yusoof, 38, melalui sosial media, dia dengan bangganya mengakui dirinya seorang transgender atau pondan.
“Mak pondan nyah and I’m so proud of it. (Saya sangat berbangga dengannya). I accept okay (Saya terima okey).
“By saying I accept, (dengan mengatakan saya terima hakikat), saya memang tiada nafsu kepada kaum wanita. Ada juga wanita-wanita yang cuba ingin ubah saya, saya tak boleh,” kata Isma yang bakatnya mula dihidu ramai menerusi drama Sutun 2.
Transgender
Menerusi video tersebut yang kemudiannya tular, Isma mendedahkan, walaupun berstatus pondan, dia tidak pernah mengamalkan pengambilan hormon untuk mengubah suara atau fizikalnya menjadi perempuan.
“Kalau anda semua tak terima transgender, hanya terima jantina lelaki dan wanita sahaja, sebab itu ramai pondan ambil hormon.
“Potong itu, potong ini, bedah sana bedah sini. Semuanya kerana ingin jadi seperti wanita untuk masyarakat terima. Saya gembira dengan wajah saya, suara saya dan tubuh saya. Kenapa saya kena ubah semua itu? Saya terima diri saya sebagai pondan,” katanya lagi.
Sejujurnya, penulis tidak berada pada posisi untuk mengatakan Isma salah ataupun sebaliknya.
Sebagai seorang manusia yang berprofesi wartawan hiburan, penulis memiliki ramai rakan-rakan transgender baik yang datang dari industri fesyen, mereka yang bekerja sebagai jurusolek artis dan mahupun dari cabang kerjaya lain.
Akan tetapi, kualiti dan disiplin kerja mereka memang bagus. Malah sentiasa mementingkan dan mendahulukan kesempurnaan. Bukan untuk mengangguk kepala dengan apa yang dicanangkan Isma namun sebagai manusia biasa, kita tidak boleh lari daripada cela.
Bahaya zaman digital sekarang, kita suka menghakimi kesalahan orang lain sedangkan hakikatnya, rencana hidup sendiri pun penuh dengan banyak aib yang tersembunyi. Betapa sayangnya Tuhan yang masih menjaga, hanya kita sahaja tahu nista diri sendiri.
Orang penting Indonesia, Buya Hamka yang sangat dekat dengan agama Islam diuji Ilahi apabila anak saudaranya, Sutan Ibrahim Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama pentas, Raja Gemini berubah menjadi seorang mak nyah yang membina kerjaya di Amerika Syarikat (AS).
“Saya dilahirkan di AS tetapi ketika berusia tiga tahun, saya dan keluarga berpindah ke Indonesia. Saya tinggal di Bali hingga umur sembilan tahun.
“Bapa saya datang daripada keluarga yang sangat taat kepada agama (Islam). Kemudian, dia menukar agama selepas berkahwin dengan isteri baharu. Saya masih ingat, ketika kecil selalu ke masjid di Jakarta, namun sekarang, saya jadi seperti ini,” ujar Raja yang merupakan juara program realiti di AS, Rupaul’s Drag Race musim ke-3.
Raja merupakan anak kepada adik kandung ulama terkenal Indonesia, Buya Hamka iaitu Abdul Wadud Karim Amrullah.
Apa yang ingin penulis sampaikan di sini, kita semua manusia biasa, bukannya malaikat. Iman kita mudah berbolak-balik. Jangan disebabkan mulut lancang membuta tuli menghakimi dosa orang lain, akhirnya nanti takut terpercik ke muka sendiri.