LONDON – Selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut, pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menegaskan beliau tidak bimbang dengan situasi tersebut.
Sebaliknya, pengendali dari Portugal itu mahu memberi fokus terhadap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Bromwich Albion di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Katanya, beliau tidak kisah dengan kritikan yang diterima selepas penyokong Spurs dikatakan mula bosan dengan taktikal bertahan diterapkan Mourinho.
“Saya sentiasa berikan tekanan terhadap diri sendiri. Oleh itu, saya tidak perlukan orang lain untuk tekan saya. Setiap hari saya bangun dengan matlamat sendiri.
“Ramai orang bercakap mengenai tiga kekalahan berturut-turut sejak 2012 tetapi mereka tidak cakap mengenai pasukan ini kemarau piala. Mungkin saya boleh bantu mereka menang musim ini,” kata Mourinho.
Bekas pengendali Chelsea itu berkata, beliau kini hanya mahu berikan tumpuan terhadap aksi menentang West Brom, lebih-lebih lagi pasukan tersebut mula meningkat selepas diambil alih Sam Allardyce.
“Sekarang saya hanya mahu fikir mengenai West Brom kerana mereka anggap pertemuan ini satu perlawanan besar. Kami akan pastikan mereka pulang dengan tangan kosong,” ujarnya. – AGENSI