TUARAN – Tiga lelaki maut dalam kemalangan melibatkan lori, kereta dan sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Berungis-Tenghilan berhampiran Simpang Marabahai Spurs pagi tadi.
Tiga yang maut dalam kejadian pukul 8 pagi itu adalah penunggang motosikal, Jul Amri Shamsudin, 25, dan pemboncengnya, IL Yasa Shamsudin, 35, serta pemandu kereta yang juga anggota polis, Koperal Shamsully Adly, 45.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipandu dari arah Tamparuli menuju ke Tenghilan.
Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai keluar simpang sebelum dirempuh lori ATM.
“Ekoran rempuhan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terseret sehingga mengakibatkan kedua-dua mereka parah sebelum disahkan meninggal dunia.
“Dalam pada itu, lori ATM turut berlanggar dengan Perodua Kancil dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hamizi berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Kancil yang baru selesai bertugas di Balai Polis Kota Belud dalam perjanalan balik ke rumahnya di Bolong Tuaran.
Shamsully yang terperangkap dalam kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori ATM tidak cedera.
Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE