PETALING JAYA- Seramai 744 individu dilaporkan tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kini dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 117, 449 individu telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu.
“Kesemua mereka ditempatkan di 73 hotel dan 14 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
“Seramai 7,599 individu pula dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 109,361 orang dibenarkan pulang manakala 489 lagi dibawa ke hospital,” katanya tadi.
Katanya, seramai 643 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Daripada jumlah itu, seramai 623 orang dikompaun manakala 20 individu direman.
“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (144), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (112), tiada penjarakan fizikal (133), gagal menyediakan peralatan merekod (112), premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (34), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66),” ujarnya. – K! ONLINE