KOTA BHARU- Seorang pemandu kereta yang dipercayai merempuh tiga wanita sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut di Jalan Pasir Hor di sini direman selama empat hari.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, perintah reman tersebut bermula hari ini hingga Selasa depan.
“Perintah reman terhadap suspek berusia 33 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang wanita warga Indonesia maut manakala dua warga emas yang baru pulang mengaji al-Quran cedera selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Pasir Hor.
Mereka dilanggar semasa berdiri di atas penghadang jalan konkrit untuk melintas ke kanan jalan.
Selepas kejadian itu, suspek yang memandu kereta dan positif dadah jenis methamphetamine telah dibelasah orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
Sementara itu, menurut Abdul Rahim, kedua-dua warga emas yang cedera masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini. – K! ONLINE