PETALING JAYA – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Bandar Tun Razak (MPPWP BTR) mengesahkan, majikan kepada suami Noraliza Mustafa yang tular di media sosial sejak semalam berkaitan caj hospital telah nyatakan kesudian pihaknya untuk menanggung bayaran tersebut.
MPPWP BTR melalui satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, suami Noraliza iaitu Azmilizam Amsam yang bekerja di Asian Tiger Tranfer Mover yang disahkan positif Covid-19 masih lagi kritikal dan sedang di rawat di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM).
“Pihak majikannya, Asian Tiger Tranfer Mover telah berurusan dan datang ke HCTM pagi ini bagi mendapatkan kepastian berkenaan dengan bayaran yang dinyatakan.
“Pihak HCTM telah memaklumkan bahawa bayaran akan ditanggung oleh majikan dan bayaran tidak sebanyak RM 5,000 seperti yang dimaklumkan menerusi video yang tular tersebut,” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, satu proses ujian swab juga telah dilakukan di kediaman mereka yang akan dilaksanakan pada pukul 10 pagi hari ini. Sebarang keputusan akan dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“MPPWP BTR melalui Zon dan Sub Zon 2, dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengaturkan bantuan berbentuk makanan,keperluan dan peralatan,” katanya. – K! ONLINE