SHAH ALAM – Tular dua lelaki disyaki tidak sempat menyamun sebuah rumah apabila disergah pasangan suami isteri yang merupakan pemilik rumah baru-baru ini.
Dalam video berdurasi seminit itu memaparkan kedua-dua mereka yang memakai topi keledar dengan seorang daripadanya berada di laman dalam rumah tersebut.
Pasangan suami yang menaiki sebuah kenderaan yang merakam insiden itu didapati telah menyergah tindakan dua lelaki itu yang berada di rumah mereka.
“You buat apa. Ini saya punya rumah. You tidak tahu polis…,” katanya.
Teguran itu menyebabkan seorang lelaki yang berada di laman dalam rumah itu memanjat keluar pagar berikutan dikatakan ketakutan apabila aksi mereka dirakam pemilik rumah.
Kedua-dua lelaki itu kemudiannya beredar menggunakan sebuah motosikal dipercayai jenis Honda Dash 125 fi.
Insiden itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen selepas dimuat naik sejak lebih sejam lalu di laman sosial Facebook.
Seorang pengguna, Zul Kby menegaskan langkah pemilik rumah dengan merakam kejadian itu disifatkan satu perbuatan yang betul.
“Tindakan tuan rumah betul dan cerdik rakam, nanti polis kutip la….jika dia keluar dari kereta bahaya balik nyawa dia, di tikam nanti naya, jika tuan rumah langgar penyamun, akan kena tindakan,” ujarnya.
Bagi Kame Noor pula berharap perakam itu segera membuat laporan polis untuk keselamatan diri dan orang lain.
“Harap buat report polis la. Geng-geng ni nanti cari mangsa lain. Baik sumbat dalam penjara sebelum orang lain jadi mangsa,” jelasnya. -K! ONLINE