TANJUNG MALIM – Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah menerusi dua tangkapan berasingan di Kampung Baru Slim River di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis pada mulanya menahan seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan pada pukul 9.45 malam sebelum dibawa ke sebuah rumah.
Katanya, setibanya di sana, terdapat tiga lelaki lain yang didapati sedang leka menghisap sesuatu disyaki dadah.
“Hasil pemeriksaan menjumpai lima peket plastik lutsinar, tujuh tiub straw dan satu bekas plastik masing-masing berisi dadah jenis methamphetamine seberat 31.15 garam.
“Turut dijumpai bersama suspek ialah satu tiub straw berisi dadah jenis heroin seberat 0.67 gram. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM3,200,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati, keempat-empat suspek berusia 33 hingga 37 tahun itu mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
Katanya, kesemua suspek direman bermula hari ini dengan seorang daripada mereka tamat tempoh reman esok manakala selebihnya pada Khamis ini.
“Siasatan kes akan dijalankan mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.