fbpx

Ibu ambil upah cuci periuk RM10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI HAJAR gembira menerima sumbangan tablet untuk kemudahan anak-anaknya mengikuti PdPR di rumahnya di Alor Setar kelmarin.

ALOR SETAR – Seorang ibu tunggal mengambil upah mencuci periuk kedai makanan sebanyak RM10 bagi menyara kehidupan mereka lima beranak di Kampung Padang di sini sejak lima tahun lalu.

Siti Hajar Din, 46, berkata, bayaran upah itu dapat menampung serba sedikit keper­­lu­an mereka sekeluarga terma­suk membeli bekalan makanan.

“Sekali cuci periuk dapatlah RM10, walaupun tak banyak ada juga untuk beli beras dan lauk. Alhamdulillah saya dapat bantuan zakat sebanyak RM200 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM350 sebulan.

“Memang tak cukup, tetapi kena berjimat terutama untuk anak-anak sekolah,” katanya di rumah di Kampung Padang di sini kelmarin.

Tiga anaknya iaitu Mohd. Hafiz, 17, Norhazirah, 14, dan Norhafizah, 6, masih bersekolah.

Katanya, anak sulungnya, Mohd. Hakim, 19, pernah me­nuntut di sebuah politeknik pada tahun lalu, namun terpaksa berhenti sementara ke­rana masalah kewangan.

“Nasib baik anak-anak rajin bantu saya dengan buat kerja sambilan sewaktu cuti. Dapat duit saku untuk mereka juga.

“Namun risau juga sebab akan ganggu Mohd. Hafiz yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia bulan ini,” katanya.

Siti Hajar turut sedih apabila anak-anaknya itu terpaksa berkongsi satu telefon pintar untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) termasuk anak sulungnya yang berniaga secara online.

“Kami ada satu telefon, guna dua kad sim iaitu satu untuk PdPR dan satu lagi untuk abang berniaga,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Perhubungan Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara Negeri Kedah/Perlis, Mohd. Akmal Fawwaz Muhamad Ali dan Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Kedah, Amirul Syahir Musa menyampaikan sumbangan tablet bagi memudahkan anak-anak Siti Hajar mengikuti PdPR.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI