LIVERPOOL – Pemain pertahanan Everton, Ben Godfrey secara terbuka mengakui tidak kisah sekiranya diarahkan kembali beraksi di bahagian pertahanan tengah pasukan itu.
Dia kembali berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan itu ketika mereka berkunjung ke Elland Road menentang Leeds kelmarin selepas direhatkan oleh Carlo Ancelotti ketika mereka tewas menentang Newcastle.
Kehadiran semula pemain yang dibeli dari Norwich itu berjaya membantu Everton mencatat kemenangan 2-1 pada perlawanan berkenaan.
Godfrey kembali beraksi di posisi kegemarannya pada aksi menentang Leeds berbanding khidmatnya digunakan pada bahagian sayap pertahanan sebelum ini, namun tidak pernah merungut dengan tugas yang diberikan kepadanya.
“Saya buat apa yang perlu saya buat, saya boleh bermain di mana sahaja.
“Namun, saya sangat seronok untuk kembali beraksi di posisi kegemaran. Adakalanya terpaksa bekerja keras tetapi saya gembira untuk melakukannya.
“Sebagai pemain baharu, saya perlu belajar banyak perkara dengan pemain yang sedia ada. Mereka beraksi pada tahap tertinggi dan saya juga mahu melakukannya,” katanya.
Selepas berjaya mengatasi cabaran Leeds, Godfrey kini sedang membuat persiapan rapi untuk turun mengekang asakan Manchester United apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu di Old Trafford awal pagi esok. – AGENSI