fbpx

Lelaki tular jadi ‘polis’ buat rondaan didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki sedang melakukan tugas-tugas rondaan di daerah Kajang sambil mengenakan seragam menyerupai anggota PDRM.

KAJANG – Dua lelaki yang tular kerana memakai pakaian seragam dengan mempamerkan jata negara serta pangkat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masing-masing didenda oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh iaitu Yang Dipertua Pertubuhan Pencegahan Jenayah dan Dadah Malaysia (Pdjm) Roshazreel Roslan didenda RM5,000 bagi kesalahan mempamer jata negara dan pangkat milik PDRM.

Sementara bagi kesalahan memakai pakaian seragam PDRM tanpa kebenaran, Roshazreel dan seorang lagi tertuduh iaitu Usmaluddin Shah Kamalsjah masing-masing didenda RM500.

Di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, Roshazreel, 46, yang mengaku salah didakwa memiliki pakaian yang mempamerkan jata dan pangkat-pangkat milik pasukan PDRM yang tidak mendapat pengikhtirafan dan kebenaran menggunakannya di sekitar kawasan Kajang pukul 1 tengah hari pada 29 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal atas alasan tertuduh seharusnya peka kepada undang-undang kerana ia melibatkan pakaian seragam ‘frontliners’ di Malaysia.

Tertuduh pula merayu hukuman denda yang paling minimum kerana pendapatannya berkurangan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain kedua-dua tertuduh yang mengaku salah didakwa memakai pakaian seragam pasukan PDRM tanpa kebenaran mana-mana pegawai pemerintah yang menunjukkan mereka seorang anggota pasukan itu bagi menjalankan tugas-tugas PDRM pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan itu serius kerana ia mengelirukan masyarakat secara amnya selain mengganggu gugat imej PDRM dan kes itu tular di media sosial

Bulan lalu, Kosmo! Online melaporkan tindakan seorang lelaki dari sebuah pertubuhan melakukan tugasan rondaan dengan mengenakan seragam seperti PDRM akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, satu laporan polis telah dibuat selepas pihaknya dimaklumkan tentang perbuatan lelaki berkenaan susulan penularan sebuah video memaparkan kejadian tersebut.

Menurut beliau, laporan itu dibuat ekoran terdapat isu yang dibangkitkan berhubung tindakan individu dan kumpulan ini yang bertindak sendirian tanpa seliaan pihak PDRM.

Sebelum itu, satu rakaman video berdurasi 56 saat tular di laman media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki yang dirakam menjalankan tugas-tugas rondaan sambil mengenakan seragam menyerupai anggota PDRM. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI