KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pelaburan palsu yang menawarkan keuntungan berlipat kali ganda membabitkan nilai rampasan berjumlah RM3.6 juta dalam dua serbuan bermula 1 Februari lalu.
Menerusi dua hari serbuan itu, seramai 16 suspek terdiri daripada 13 lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 20 hingga 62 tahun berjaya diberkas di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, serbuan pada 3 Februari melibatkan sindiket penipuan pelaburan Kripto Emas Fintech yang yang menawarkan pulangan lumayan antara 10 hingga 15 peratus setiap bulan kepada pelabur.
“Siasatan mendapati sindiket terbabit beroperasi hanya dalam tempoh sembilan bulan bermula April 2020 hingga Disember lalu.
“Sindiket itu didapati menggunakan platform dagangan matawang kripto dan turut mendakwa menjalin kerjasama dagangan dengan ‘Exchanger’ terkenal seperti Binance, Liquid, Kraken dan Okcoin bagi meyakinkan pelabur,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK di sini hari ini.
Dalam pada itu, serbuan kedua pula berjaya menumpaskan sindiket penipuan ‘Pelaburan Iskandar Investment’ yang menjanjikan keuntungan dalam masa 24 jam di platform laman sosial facebook.
Katanya, sindiket tersebut menawarkan tiga pakej kepada pelabur iaitu gold, premium dan platinum dengan nilai pelaburan bermula pada harga RM350 hingga RM2,350 dengan pulangan mampu mencecah sebanyak RM49, 450.-K!ONLINE