fbpx

K2

Palitan warna-warni kediaman konsep Boho

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARNA-WARNA kontra digunakan pada ruang tamu wujudkan suasana ceria.

SETIAP individu pasti mempunyai kediaman impian mereka yang tersendiri. Tanpa mengira keluasan sesebuah rumah, hampir semua pelusuk penjuru ruang tersebut pasti dihias indah mengikut cita rasa masing-masing.

Sama seperti pemilik akaun Instagram roomah.secoet, Nor Shakela Sickander, 36. Biarpun kediaman yang dihuni hanyalah sebuah flat tiga bilik berkeluasan 65 meter persegi, namun tiada apa yang mampu menghalangnya daripada merealisasikan bayangan kediaman yang sering bermain di fikirannya.

Mesra dipanggil Sha, wanita ini mempunyai cita rasa tersendiri dan tidak menerapkan dekorasi klise yang sering menjadi pilihan kebanyakan pemilik kediaman di negara ini.

Sebaliknya, wanita yang menetap di Kangar, Perlis ini memilih konsep Boho sebagai pertaruhan menghiasi ruang yang dihuni bersama ibu, adik dan anak lelaki tunggalnya itu.

Jika dilihat pada keseluruhan hasilnya, kediaman wanita ini tidak ubah seperti sebuah bilik pameran yang sarat dengan hasil seni.

“Asalnya kediaman ini berkonsepkan moden dan minimalis. Bagaimanapun, ia berubah selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mana saya mula meminati dekorasi berkonsepkan boho, vintaj dan klasik.

“Pengubahsuaian dekorasi ini baru bermula pada Jun tahun lalu. Disebabkan masih belum siap sepenuhnya dan saya kini sedang dalam proses untuk menambah aksesori.

“Disebabkan dekorasi ini dilakukan sedikit demi sedikit, saya kini sedang dalam proses menambah elemen rotan dan tumbuh-tumbuhan dalaman,” katanya.

Berani bermain dengan warna-warna gelap dan ruang kecil, namun percaturan Sha bagaimanapun membuahkan hasil apabila simbahan warna pada dinding kediamannya itu tidak menyebabkan ruang kelihatan sempit.

Sebaliknya, gabungan warna-warna gelap yang dipilih seperti kelabu membuatkan keseluruhan ruang tampak lebih ceria dan berseni serta memiliki identiti tersendiri.

Deretan pokok-pokok menghijau yang tersusun kemas pada rak-rak kayu di dalam kediaman itu pula berjaya membangkitkan suasana malar segar.

Bagi sesetengah individu, warna yang digunakan untuk menghias sesebuah ruang mestilah tidak lebih daripada tiga untuk mengelakkan kediaman kelihatan terlalu sarat.

Bagaimanapun, cakap-cakap tersebut berlaku sebaliknya apabila susun atur yang diolah oleh ibu muda ini berjaya membuatkan keseluruhan kediaman tampak senada.

POKOK-POKOK segar yang menjadi penyeri setiap sudut kediaman memberikan suasana hidup.

Menurut ibu kepada seorang cahayamata itu lagi, idea dekorasi selalunya datang daripada dirinya sendiri yang menggemari barangan cantik, kemas, bersih dan tersusun.

Begitupun, Sha tetap menjadikan Pinterest dan Instagram sebagai sumber inspirasinya.

Kebanyakan aksesori dibelinya daripada Ikea, Kaison dan kedai-kedai online di laman sosial.

“Dekorasi kediaman ini dilakukan mengikut selera, kesesuaian, keluasan dan kemampuan diri serta keluarga.

“Dekorasi penting bagi saya kerana apabila rumah yang didiami cantik, kemas tersusun dan wangi, hati kita akan menjadi tenang.

“Bangun pagi pun ceria sahaja untuk memulakan tugasan harian. Pendek kata, setiap emosi, keceriaan dan energi positif bermula dari rumah kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI