PETALING JAYA- Kementerian Perpaduan Negara akan membawa suara masyarakat Cina kepada pihak Majlis Keselamatan Negara berhubung prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baru Cina.
Kementerian itu menyatakan, pihaknya telah mendengar pandangan dan rayuan masyarakat Cina berkaitan dengan Makan Besar Keluarga dan kehadiran penganut ke Rumah Ibadat Tokong pada 11,12 dan 19 Februari ini bersempena perayaan itu.
“Penyediaan SOP Tahun Baru Cina disediakan setelah Kementerian ini berbincang dengan 21 pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina dan pihak-pihak berkaitan pada 12 dan 18 Januari 2021.
“Sebarang pengumuman berkaitan dengan pandangan dan rayuan yang dimasukkan dalam SOP Tahun Baru Cina akan diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan aduan masyarakat Cina yang rata-rata tidak berpuas hati dengan SOP Tahun Baru Cina yang diumumkan Ismail Sabri baru-baru ini. – K! ONLINE