PETALING JAYA – Penyanyi yang sedang meningkat naik, Ryan Deedat berkongsi berita mendukacitakan tentang ibunya yang diserang penyakit strok.
Ryan yang popular menerusi lagu Monalisa mendedahkan, ibunya dari semalam sehingga sekarang masih belum boleh bercakap dengan sempurna.
“Mak saya kena acute stroke. Strok di kepala. Saya cuma berkomunikasi dengan dia tapi respons tidak begitu baik.
“Buat masa sekarang, dia makan ubat (ubat cair darah). Jadi, dalam tempoh 24 jam hingga 72 jam dari sekarang adalah sangat genting buat saya dan keluarga,” katanya melalui Instagram.
Tambah Ryan, 29, dia sangat berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kesembuhan ibunya.
“Terima kasih kepada yang mendoakan mak saya semalam dan ada yang baca Yasin sekali. Terima kasih!
“Semoga hari Jumaat yang mulia ini Allah perkenankan doa kita semua. Amin. Saya rindu suara mak,” kata Ryan lagi.
Ryan sebelum ini pernah mendedahkan, ibunya menghidap sakit jantung dan batu karang.
Terdahulu pada 2018, Ryan fobia kehilangan orang tersayang apabila kakaknya, Allahyarham Tengku Nur Intan Sheikira, 31, meninggal dunia pada 2017. – K! ONLINE