Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu mematahkan cubaan sebuah lori yang digunakan untuk menyeludup 20 ekor lembu bernilai RM310,000 dipercayai untuk ibadah korban di Kampung Jejawi di sini semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan itu dilakukan pada pukul 5.15 pagi selepas anggota PGA menahan lori terbabit.
Katanya, pemandu lori itu mengemukakan permit berkaitan lembu tersebut, namun wujud percanggahan apabila nombor pendaftaran kenderaan tidak sama seperti yang didaftarkan di dalam surat berkenaan.
Selain itu, dokumen tersebut juga tidak lengkap selepas didapati tiada sebarang cop pengesahan rasmi daripada Jabatan Veterinar Negeri Kelantan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap muatan lori itu membawa kepada penemuan sebanyak 20 ekor lembu jenis Shorthorn Heifers.
“Pemandu, kelindan serta lori dan lembu itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, berdasarkan hasil siasatan, pemandu lori mendedahkan, lembu itu akan dihantar ke kandang berdekatan Kampung Jejawi.
“Kita akan terus menjalankan operasi dalam mematahkan cubaan menyeludup dan jenayah rentas sempadan di bawah penugasan Op Benteng Covid-19,” katanya. -K!ONLINE