SHAH ALAM – Dua penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar sejarah tersendiri apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam program profesional perakaunan.
Kejayaan Fatin Najwa Azman, 22, dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, itu hasil keputusan cemerlang dalam peperiksaan antarabangsa The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT), hujung tahun lalu.
Fatin Najwa yang merupakan penuntut Tahun Ketiga program ACCA menduduki tempat pertama bagi kertas peperiksaan Audit and Assurance (AA) di Malaysia dan tempat kesembilan di peringkat dunia.
Manakala, Putera Aiman yang kini berada di semester kedua dan terakhir bagi program CAT disenaraikan di tempat pertama di negara dan kedua dunia bagi kertas peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).
Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Prof. Dr. Haslinda Yusoff berkata, kedua-dua penuntut itu amat komited dan berdedikasi dalam sesi pembelajaran.
“Kita berbangga dengan pencapaian dan kecemerlangan berterusan ditunjukkan mereka yang akan menjadi pemangkin kepada semua warga UiTM selain menjadi sebuah insitusi pendidikan unggul dunia.
“Kejayaan itu sekali gus turut membuktikan kecemerlangan kaum Bumiputera dalam bidang perakaunan,” katanya di sini hari ini.
Haslinda menambah, pihaknya sentiasa proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan dan terus komited meneraju bidang pendidikan perakaunan dengan menyediakan program akademik berkualiti di pelbagai peringkat termasuk Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah di samping program profesional seperti CAT, ACCA, dan CIMA (Certified Institute of Management Accountants).
“Fakulti Perakaunan UiTM menjadi pusat kecemerlangan perakaunan sejak lebih 60 tahun lalu dan akan terus memacu kecemerlangan tersebut,” katanya.
UiTM merupakan universiti awam pertama di negara ini yang menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011.
Universiti itu akan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam (IPTA) utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030. – K! ONLINE