ALOR SETAR – Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional berhubung kes kematian seorang tahanan berusia 31 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pada 28 Januari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ketika ini siasatan kes tersebut diambil alih pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di bawah seliaan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad.
Katanya, siasatan dijalankan secara menyeluruh daripada segala aspek termasuk kekerasan, kecuaian, salah laku pegawai selain kemungkinan kecederaan berlaku akibat pergelutan semasa tangkapan dan sebagainya.
“Sehingga kini seramai 47 saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Mereka terdiri daripada ahli keluarga, pegawai dan anggota polis yang terlibat ketika tangkapan, pegawai dan anggota menjaga lokap, tahanan lain yang berada di lokap bersama arwah serta pegawai perubatan di Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Hasanuddin berkata, ketika tangkapan dilakukan, tahanan didakwa bertindak agresif hingga menyebabkan kecederaan di muka, telinga dan dahinya.
Setelah ditahan katanya, arwah telah dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Kilang Papan, Gurun bagi tujuan siasatan lanjut.
“Pemeriksaan dijalankan di situ turut disaksikan oleh keluarga arwah dan arwah ada bercakap dengan keluarganya malah ibunya turut memberi minuman kepadanya.
“Arwah kemudiannya dimasukkan ke lokap IPD Yan dengan tujuan mendapatkan perintah reman pada keesokan hari, namun pada pukul 12.30 tengah malam, 28 Januari lalu, dia didapati tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Yan,” katanya.
Tambahnya, tahanan itu yang pernah lapan kali ditahan kerana kesalahan dadah serta jenayah selain dijatuhi hukuman mahkamah sebelum ini, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas pada 1.10 pagi. – K! ONLINE