fbpx

Kisah zombi dari Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Zeta: When The Dead Awaken sudah menemui penonton negara ini sejak 28 Januari lalu menerusi On Demand dan Astro First.

SEMAKIN banyak filem dari tanah seberang kini boleh diangkat sebagai karya yang memiliki kualiti dan mutu tersendiri, lalu menjadikan sebahagian naskhah Nusantara juga layak untuk setanding dengan karya antarabangsa.

Petanda sebegitu menunjukkan dunia sedang terbuka menerima semua karya dari pelosok dunia, asalkan para pengkarya membentangkan persembahan terbaik dalam setiap naskhah yang dipertontonkan.

Dalam mencari kelainan terbaik buat memenuhi selera penonton, Indonesia buat pertama kalinya hadir dengan naskhah yang mengetengahkan filem mengenai zombi, sebuah percubaan yang wajar diberi perhatian.

Usaha tersebut direalisasikan oleh Swan Studio menerusi filem berjudul Zeta: When The Dead Awaken yang mendapat garapan pengarah terkenal, Amanda Iswan.

Filem terbitan dua tahun lalu tersebut kini menemui penonton Malaysia sejak 28 Januari lalu menerusi saluran On Demand dan Astro First.

SEJAUH manakah karya zombi pertama oleh pembikin filem Indonesia, Zeta: When The Dead Awaken ini mampu menyaingi karya-karya serupa yang pernah disaksikan menerusi filem-filem Hollywood atau Korea Selatan? Jawapannya ada dalam diri penonton.

Berkongsi mengenai filem berkenaan, kata Amanda, sudah tentu bukan mudah untuk menghasilkan naskhah tersebut apatah lagi jika pertama kali menggarap jalan cerita sedemikian.

“Bukan hanya genre seram, saya fikir mengarahkan filem dalam apa jua genre pun merupakan satu usaha yang mencabar. Nasib saya baik kerana berpeluang bekerja dengan beberapa kru filem terbaik di Indonesia.

“Antara yang bersama-sama saya untuk menjayakan filem ini termasuklah, Amalia Trisnasari, Benny Lauda, Chaery Wirawan dan Dara Asvia.

“Biarpun mereka telah memenangi lebih daripada satu anugerah dalam industri perfileman Indonesia tetapi masih rendah hati berkongsi pengetahuan dengan saya secara profesional,” katanya.

Berkongsi lanjut, Amanda juga meraih banyak pengalaman menerusi filem berkenaan, terutama menguruskan tekanan untuk memastikan semuanya mampu disudahkan dalam tempoh yang sangat pendek.

“Aspek yang paling sukar ialah sasaran menyiapkan sekitar enam hingga 13 adegan setiap hari kerana waktu penggambaran yang singkat.

“Dua daripada adegan pertempuran diambil pada hari yang sama memakan masa selama empat jam sahaja. Di sebalik semua kesusahan, ini adalah filem pertama saya dan saya banyak belajar melaluinya,” katanya.

ANTARA babak menarik dalam filem Zeta: When The Dead Awaken yang kini boleh disaksikan menerusi On Demand dan Astro First.

Apa yang membanggakan, rata-rata penonton di Indonesia menerima baik naskah berkenaan.

Mengharap perkara serupa daripada penonton Malaysia, Amanda bagaimanapun sudah bersedia seandainya kelak, karyanya dihujani dengan kritikan.

“Sudah menjadi lumrah, ada peminat yang menikmatinya dan akan ada juga orang yang tidak begitu menikmatinya. Terpulang kepada selera penonton,” katanya.

Dibintangi Cut Mini, Jeff Smith, Dimas Aditya, Edo Borne, Joshua Pandelaki dan Willem Bevers, Zeta: When The Dead Awaken mengisahkan seorang remaja berusia 16 tahun, Deon lakonan Jeff Smith dan ibunya Isma (Cut Mimi) yang menderita penyakit Alzheimer.

Mereka terperangkap di dalam apartmen semasa kota yang didiami tiba-tiba diserang wabak misteri.

Atas usahanya untuk mengumpulkan bekalan makanan, Deon menyerang Reza, seorang pekerja binaan yang dalam perjalanan ke apartmen saudaranya, Reyhan (lakonan Edo Borne).

Setelah melihat keadaan Isma, Reza bersetuju untuk memimpin kumpulan itu ke apartmen Reyhan, kerana dia memiliki radio yang dapat digunakan untuk menghubungi tentera.

Sementara itu, bapa Deon pula merupakan seorang saintis yang sedang bergabung dengan pasukan khas negara bagi mendapatkan penawar wabak berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI