fbpx

MPL Malaysia tawar saingan kompetitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENTAS MPL Malaysia menampilkan pasukan elit seperti Todak, Geek Fam, Team Bosskurr, Team SMG, Reborn Esports, EVOS MY, Resurgence (RSG) MY dan Orange Louvre Esports.

SAINGAN kompetitif Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia yang kini memasuki musim ketujuh mendapat sam­butan amat menggalakkan dalam kalangan para peminat tegar permainan video berkonsepkan arena pertempuran berbilang pemain.

Masakan tidak, sebanyak 1,706 pasukan sudah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan MPL Malaysia musim ketujuh selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad (7 Februari).

Difahamkan, hanya 512 pasukan daripada jumlah tersebut mendapat tempat untuk beraksi dalam pusingan kelayakan dengan baki­nya berada dalam senarai me­nunggu sekiranya ada mana-mana skuad menarik diri sebelum saingan bermula.

Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah kerana semua pa­sukan hanya diberikan peluang bermain satu perlawanan di pusi­ngan awal sebelum format ‘Best of 3’ digunakan pada pe­ringkat 16 terbaik dan suku akhir.

Enam teratas daripada saingan suku akhir akan mara ke pusi­ngan kelayakan akhir pada Ahad ini (7 Februari) untuk mencari dua pa­sukan terbaik yang akan mendapat tiket beraksi pada MPL Malaysia musim ketujuh.

Dua pemenang itu bakal berdepan lapan pasukan utama di pentas MPL Malaysia seperti juara MPL Malaysia/Singapura (MY/SG) musim keenam, Todak, Geek Fam, Team Bosskurr, Team SMG, Reborn Esports, EVOS MY, Resurgence (RSG) MY dan Orange Louvre Esports.

Malah, rata-rata pasukan se­perti Todak dan Orange Louvre juga sedang sibuk merekrut beberapa pemain baharu bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya sebelum saingan MPL Malaysia membuka tirainya tidak lama lagi.

PASUKAN Todak giat merekrut dua pemain baharu bagi menggantikan Eone yang bersara selepas berakhirnya saingan Kejohanan Dunia M2 bulan lalu.

Antara kriteria ditetapkan Todak yang mencari dua pemain baharu dalam fungsi tank dan jungler adalah ranking Mythic Glory 2000 ke atas selain berpe­ngalaman bermain kejohanan Mobile Legends sekurang-kurangnya di peringkat semi profesional.

Pencarian dua pemain baharu itu tentunya bagi menggantikan tempat Muhammad Rizwan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Eone yang memutuskan mahu bersara sebagai pemain profesional Todak sebaik berakhirnya saingan Kejohanan Dunia M2 bulan lalu.

Apa yang pasti, penyertaan menggalakkan walaupun sekadar menawarkan dua tempat sahaja telah membuktikan tahap kompetitif permainan video Mobile Legends di Malaysia berada dalam popularitinya yang tersendiri sejak mula diperkenalkan pada 2016.

Faktor lain mungkin juga di­sebabkan kejayaan Todak menjuarai saingan MPL MY/SG musim keenam tahun lalu selain pencapaian mereka meraih tempat ketujuh pada Kejohanan Dunia Mobile Legends M2 di Singapura yang melabuhkan tirainya bulan lepas.

PASUKAN wanita Indonesia, EVOS Esports muncul juara pertama Liga Bintang Wanita Indonesia yang memasuki musim kedua.

Apa pun, kre­dit harus diberikan kepada pembangun permainan video berke­naan, Moonton kerana akhirnya memisahkan pentas MPL MY/SG dengan mewujudkan pertandi­ngan liga Mobile Legends tersendiri untuk Malaysia dan Si­ngapura.

Ia sekali gus menyaksikan lima negara dominan dalam ­arena Mobile Legends di rantau Asia Tenggara mempunyai saingan liga sendiri dengan MPL Indonesia kini sudah memasuki musim keenam, MPL Filipina (musim ketujuh) dan MPL Myanmar.

Justeru, tidak mustahil juga saingan profesional kategori wanita untuk permainan itu boleh diwujudkan seperti dilakukan Indonesia dengan penganjuran Liga Bintang Wanita yang sedang berlangsungnya musim kedua dan dijadualkan berakhir bulan depan.

Sebagai rekod, saingan Liga Bintang Wanita Indonesia itu menyaksikan lapan pasukan bertanding antaranya EVOS E­sports, Siren Moon, Belletron Era, Alter Ego NYX, 7Heaven Alexandrite, Night Gamers Team Aiko, Artemis Aster dan 7Heaven Aquamarine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI