MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui sangat gembira selepas anak-anak buahnya meneruskan momentum cemerlang dengan meraih kemenangan ke-13 berturut-turut dengan menewaskan Burnley 2-0 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Turf Moor itu, skuad The Citizens berjaya meraih gol hasil jaringan yang dilakukan oleh Gabriel Jesus dan Raheem Sterling sekali gus memastikan pasukan mengukuhkan kedudukan di pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.
Kata Guardiola, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh anak-anak buahnya jika berhasrat untuk merampas kembali kejuaran EPL yang telah dimenangi oleh Liverpool musim lepas.
“Saya rasa pasukan ini masih belum sempurna dan masih ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Pemain kehilangan bola dengan mudah ketika diasak Burnley dan situasi itu perlu diperbaiki.
“Namun, saya akui kedudukan serta momentum ketika ini cukup positif kerana kami sudah menempuhi 20 perlawanan tanpa kalah secara keseluruhan dan 13 kemenangan berturut-turut,” katanya.
Sementara itu, Guardiola mengakui sangat gembira dengan impak yang diberikan oleh Jesus dalam mengetuai jentera serangan pasukan itu selepas meledak gol pada dua perlawanan berturut-turut.
“Pasukan sememangnya mengharapkan sentuhan Jesus dan saya percaya jaringan yang dilakukannya pada minggu lalu telah memberi keyakinan tambahan buatnya. Justeru, saya harap momentum itu dapat diteruskan untuk memacu pasukan kekal di persada liga,” katanya. – AGENSI