HULU TERENGGANU – Polis menafikan Kampung Butut, Kuala Berang di sini yang terletak berhampiran tapak pembinaan sebuah Kuaters Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata,
pelaksanaan PKPD hanya melibatkan kawasan tapak pembinaan projek itu sahaja dan ia telah berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam tadi sehingga 17 Februari depan.
“Selain di Felda Tersat, pelaksanaan PKPD di daerah ini juga dilaksanakan di tapak bina Kuaters TNB yang terletak di dalam Kampung Butut.
“Ia hanya melibatkan 300 orang yang menetap di dalam tapak projek itu dan tidak membabitkan penduduk kampung lain yang menetap berhampiran,” katanya ketika ditemui selepas memantau pelaksanaan PKPB di Felda Tersat dekat sini hari ini.-K! ONLINE