GOMBAK – Tindakan seorang lelaki bersenjatakan pisau memecah masuk hostel pekerja warga asing di Bandar Rawang 12, Pusat Bandar Rawang membawa padah apabila dia dicekup penghuni hostel berkenaan awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, turut berlaku pergelutan di antara suspek yang berusia 21 tahun dan beberapa pekerja sehingga mereka mengalami kecederaan pada bahagian badan dan tangan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang berseorangan telah memecah masuk melalui pintu utama hostel dan membawa sebilah pisau dengan tujuan untuk menyamun penghuni yang rata-ratanya warga asing.
“Berlaku pergelutan di antara suspek dan beberapa penghuni sebelum suspek berjaya ditangkap dan diikat. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Katanya, suspek direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE