PETALING JAYA- Golongan T20 berusia 40 hingga 55 tahun paling ramai mengeluarkan duit i-Sinar untuk tujuan pelaburan seperti membeli emas atau saham, menurut satu kajian Pusat Penyelidikan UCSI.
Kaji selidik itu membabitkan 809 responden dari seluruh negara yang telah atau merancang memohon pengeluaran i-Sinar.
Menurut kajian itu, Golongan T20 membentuk 47.7 peratus daripada pencarum yang mengeluarkan wang i-Sinar untuk tujuan pelaburan, diikuti M40 sebanyak 35.3 peratus dan B40 sebanyak 31.1 peratus.
“Meskipun dalam keadaan yang sukar dengan pandemik Covid-19 melanda dunia, masih ada yang melihat peluang dan bertindak,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pusat itu.
Keseluruhannya, mereka membentuk 34.9 peratus daripada jumlah responden yang menyatakan pengeluaran wang i-Sinar untuk tujuan pelaburan.
Seramai 55.5 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan duit i-Sinar untuk tujuan membayar ansurans bulanan, diikuti pembelian barangan dapur dan makanan (48.6 peratus).
Tujuan lain termasuk ubah suai rumah (32 peratus), pembelian gajet (24.1 peratus) dan menyimpan dalam akaun bank (18.4 peratus).
“Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati membayar balik pinjaman menjadi tujuan utama responden membuat pengeluaran i-Sinar bagi golongan B40 dan M40 serta yang berusia antara 26 hingga 55 tahun.
“Mungkin sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia melihat kembali adakah mereka mempunyai komitmen yang tinggi dan adakah mereka sudah cukup bersedia berdepan dengan masa-masa sukar seperti sekarang ini,” tambahnya. -K! ONLINE