PUTRAJAYA – Semua pihak diingatkan supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan Proklamasi Darurat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mendapat perkenan selepas Tuanku berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda adalah bertujuan memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.
“Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil oleh kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa.
“Proklamasi Darurat tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.
“Walaupun ada segelintir pihak cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Baginda sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan khas penjelasan pelaksanaan proklamasi darurat dan pemasyuran ordinan darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 hari ini.
Muhyiddin berkata, sebagai ketua kerajaan, beliau sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara ini yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. -K! ONLINE