JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan notis kepada 32 peniaga yang menaikkan harga jualan kelengkapan elektronik dan alat komunikasi menerusi Ops Catut 8.0 yang dibuat di negeri ini.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di seluruh negeri ini sejak 25 Januari lalu.
Katanya, pemeriksaan dibuat setelah penjualan alat telekomunikasi seperti telefon pintar dan komputer riba terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) mendapat permintaan tinggi susulan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).
“Ops Catut 8.0 juga bertujuan memantau dan memastikan premis yang menjual barangan kelengkapan elektronik seperti komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Sehingga hari ini, sebanyak 32 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (2011) bagi tujuan siasatan lanjut terhadap peniaga untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.
“Peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 14 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hairul berkata, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.
Katanya, bagi pihak syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan kedua.
“Pengguna juga dinasihatkan membeli barangan secara berhemah, membuat pilihan dan membandingkan harga sebelum membuat pembelian.
“Anggota penguatkuasa KPDNHEP akan sentiasa menjalankan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan.
“Peniaga juga dinasihatkan mematuhi segala undang-undang perniagaan yang telah ditetapkan kementerian dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangya dalam tempoh ini. Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati peniaga yang melakukan kesalahan,” ujarnya.-K! ONLINE