Oleh NOOR HAYATI MAMAT
HULU TERENGGANU – Seorang buruh warga Indonesia maut dipercayai disambar petir dalam kejadian di ladang kelapa sawit Blok 2 Kampung Dusun Cheting, Kuala Berang di sini semalam.
Mangsa, Maniandi, 40, ditemui terbaring atas tanah oleh dua rakan sekerjanya.
Mereka kemudian membawa mangsa pulang ke rumah kongsi Ladang Tersat, Kuala Berang di sini dengan menggunakan motosikal sejauh kira-kira 2.5 kilometer.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut daripada dua rakan mangsa itu pada pukul 5.45 petang.
“Hasil soal siasat dengan rakan sekerjanya, Naswan, 32, menyatakan lebih kurang pukul 2.30 petang, mereka berdua keluar dari rumah kongsi Ladang Tersat ke lokasi kejadian untuk mengait buah kelapa sawit.
“Dia kemudiannya meninggalkan mangsa di tempat kejadian untuk melakukan kerja sebelum datang semula sekitar pukul 2.50 petang ke lokasi kejadian bersama seorang rakan, Sudirman, 42, sebelum melihat mangsa dalam keadaan terbaring,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, kedua-dua warga Indonesia itu membawa pulang mayat mangsa ke rumah kongsi mereka di Ladang Tersat, Kuala Berang pada pukul 3.30 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, Maniandi telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan pemeriksaan fizikal mendapati kesan terbakar pada telapak tangan kanannya dipercayai akibat terkena petir sewaktu mengait buah kelapa sawit.
Ujarnya, pemeriksaan juga mendapati, tiada apa-apa kecederaan akibat daripada perbuatan jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE.