fbpx

Rasuah, fitnah, berita palsu mampu hancurkan negara – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Peningkatan isu-isu membabitkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam sekali lagi mendapatkan kebimbangan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat, dan dikhuatiri mampu menghancurkan negara yang kita sayangi ini.

Baginda turut menasihatkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa di sisi agama Islam.

“Beta berpandangan bahawa rasuah dan fitnah ini juga telah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara dan seterusnya telah mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.

“Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu,” titahnya menerusi laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa terkejut mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

Justeru, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah.

“Beta berharap pelaku-pelaku rasuah ini dibanteras dengan segera bersandarkan bukti-bukti kukuh, dan diadili di mahkamah dengan pantas dan telus supaya menjadi tauladan kepada masyarakat.

“Setiap rakyat juga dinasihatkan agar memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang,” titahnya.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan, suasana kini diburukkan dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial.

Sehubungan itu, baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecah-belahkan rakyat.

“Beta menyeru menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah, demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang,” titah baginda.

Pada 24 Ogos lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa bimbang dengan peningkatan kes-kes gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di negeri ini. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI