fbpx

Mesti ada kaedah lebih telus, berwibawa lantik Peguam Negara – Tok Mat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad

PETALING JAYA- Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam soal perlantikan Peguam Negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buku nukilan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ itu memaparkan betapa besar bidang berkuasa Peguam Negara dan institusi berkenaan.

“Perincian segala peristiwa yang dinyatakan dalam buku tersebut memaparkan betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara.

“Ini mewajarkan untuk kerajaan memikirkan semula dua reformasi penting,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Ujarnya, perlantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula.

“Lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang di tulis oleh Tun Mahathir sendiri,” katanya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menambah, reformasi kedua membabitkan pemisahan antara jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

“Mungkin wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.

“Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan sukar, namun persediaan ke arah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati dan berwibawa,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI