KANGAR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila merampas sebanyak 250.25 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 770 kg daun ketum berjumlah RM640,000 selepas melakukan tiga serbuan berasingan di Padang Besar dekat sini pada Isnin lalu.
Serbuan bermula pukul 6.30 pagi hingga 9.45 pagi itu turut melibatkan sebuah rumah yang dipercayai dijadikan transit bagi aktiviti penyeludupan dadah dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
Dalam serbuan itu, polis menahan lapan individu berusia antara 12 hingga 51 tahun yang mana dua lelaki berusia 41 dan 51 tahun direman tujuh hari bermula Isnin lalu sementara bakinya dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad memberitahu, serbuan tersebut dilakukan susulan tangkapan ahli sindiket yang dilakukan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada hari sama.
“Sepasukan anggota dari JSJ Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Narkotik Kontinjen Perlis membuat tiga serbuan di sekitar Padang Besar dan bertindak menahan tujuh suspek dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.
“Pada masa sama, kita merampas 250.25 kg dadah ganja bernilai RM625,625 dan daun ketum seberat 770 kg dianggarkan bernilai RM7,700,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad – K! ONLINE