GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas berjaya diselamatkan selepas tersesat lebih dua jam di kawasan Bukit Zi Zai, Tanjung Bungah di sini malam tadi.
Mangsa berusia 71 tahun itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 11.40 malam dalam keadaan selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden membabitkan mangsa pada pukul 9.15 malam.
“Mangsa dikhuatiri tersesat selepas gagal turun dari bukit semasa melakukan pendakian.
“Mangsa tersebut dapat dihubungi melalui talian telefon dan dia juga telah menghantar lokasinya melalui aplikasi Wechat kepada anaknya,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap bomba memaklumkan, usaha pencarian dilakukan dengan melalui laluan pendakian dan di kawasan hutan.
“Mangsa telah berjaya ditemui oleh pihak polis dan orang awam berhampiran dengan Perbadanan Bekalan Air (PBA), Jalan Sungai 1, Batu Ferringhi dan berada dalam keadaan selamat.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.58 malam,” katanya. – K! ONLINE