fbpx

Saluran nafas sebesar lubang jarum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NOR SALEHA memangku bayinya yang menghidap sindrom Crouzon ketika ditemui di Seremban semalam.

SEREMBAN – Semasa hamil, kandungan Siti Nor Saleha Shamsul Bahrin, 35, disahkan normal.

Namun, wanita itu kemudian­nya diduga apabila bayinya disahkan menghidap sindrom Crouzon iaitu kecacatan bentuk tulang tengkorak dan saluran pernafasan sempit selepas dilahirkan.

Siti Nor Saleha memberitahu, Syareefa Aafiyah Mohd. Sufian yang berusia dua bulan menghidap penyakit itu yang jarang ditemui terutama di negara Asia.

“Berdasarkan maklumat pasukan perubatan, nisbah kes se­perti Aafiyah berlaku satu dalam 2,000 kehamilan di Malaysia, jadi ia memang jarang berlaku.

“Saluran pernafasan Aafiyah sangat sempit sebesar lubang jarum menyebabkan dia perlu bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

“Lehernya ditebuk untuk dimasukkan tiub Tracheostomy ke dalam saluran pernafasan,” katanya ketika ditemui di Taman Seremban Tiga di sini semalam.

Siti Nor Saleha sekeluarga yang menumpang sementara di rumah abangnya disebabkan kediamannya di Mambau dekat sini terjejas ekoran banjir sebelum ini dan dalam proses pengubah­suaian.

Lebih menyedihkan, anak bongsu daripada empat adik beradik itu menangis tanpa mengeluarkan suara, sebaliknya hanya air mata yang mengalir disebabkan tiub yang disambungkan.

Jelas suri rumah itu, disebabkan masalah kesihatan tersebut, Aafiyah mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya.

Kos keseluruhan rawatan dan pembedahan yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM18,919.

Kos itu agak membebankan bagi Siti Nor Saleha walaupun suaminya, Mohd. Sufian Sulaiman, 35, bekerja di Syarikat Air Negeri Sembilan Berhad.

“Saya bersyukur ramai pihak yang menghulurkan bantuan, ada juga yang mendoakan kesihatan anak saya.

“Baitulmal menyumbang RM10,000 untuk kos hospital, manakala bakinya perlu dibayar dalam tempoh tertentu,” kata­nya.

Mohd. Sufian pernah membuat permohonan mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, namun tidak berjaya dengan alasan penyakit Aafiyah jarang ditemui.

Siti Nor Saleha juga memerlukan wang membeli alat tiub Tracheostomy berharga RM290 seunit yang perlu ditukar tiga kali seminggu.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh meng­hubungi Siti Nor Saleha di talian 013-3070182 atau me­nyalurkannya sumbangan melalui akaun Bank CIMB bernombor 7025890824.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI