fbpx

Pasukan TSG pertaruh sembilan pelumba di Turki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN SUKAIRI (tengah) bergambar bersama pasukan TSG sebelum berangkat ke Kuala Lumpur untuk berlepas ke Turki di Kuala Terengganu kelmarin.

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

SEMBILAN pelumba termasuk lima tonggak import menjadi taruhan pasukan bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) pada siri perlumbaan di Turki bermula Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Mohd. Saiful Anuar Aziz berkata, TSG akan merencana strategi terbaik bagi memastikan tempoh 40 hari berkampung di negara tersebut bakal membuahkan hasil.

Menurut beliau, hanya empat pelumba tempatan iaitu Harrif Saleh, Muhammad Nur Aiman Zarif, Irwandie Lakasek dan Wan Abdul Rahman Hamdan dibawa untuk bertanding di Turki.

“Pada awalnya, kami merancang untuk menghantar kesemua pelumba tempatan, namun penundaan Jelajah Rwanda memaksa TSG merombak semula perancangan.

“Empat pelumba ini di­pilih mengikut strategi pasukan manakala lima lagi pelumba import akan turut sama berentap pada enam perlumbaan nanti,” katanya kepada pemberita sebelum bertolak ke ibu negara dari Kuala Terengganu kelmarin.

Pelepasan atlet tempatan TSG itu turut diraikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Mohd. Saiful Anuar berkata, perlumbaan di Turki agak mencabar buat pelumba TSG kerana berlangsung dalam musim sejuk selain memiliki banyak laluan berbukit.

Begitupun, beliau menegaskan, anak-anak buahnya sudah bersedia dan tidak sabar untuk memberikan yang terbaik sepanjang enam siri perlumbaan berkenaan.

“TSG bertuah kerana dibenarkan berlumba di luar negara dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini dan kita akan pastikan semua pelumba dan kru pasukan mematuhi arahan pihak berkuasa­ kedua-dua negara.

“Kami tidak perlu menjalani kuarantin di sana sebaliknya hanya perlu membuat ujian sa­ringan sebelum memulakan perlumbaan,” tambah beliau.

TSG akan memulakan aksi Grand Prix (GP) Alanya Sabtu ini disusuli GP Gazipasa pada Ahad sebelum meneruskan cabaran bagi GP Manavgat (20 Februari) dan GP Velo Manavgat pada 21 Februari.

Tempoh berkampung di Turki kemudian akan dilengkapkan dengan penyertaan TSG pada GP Mediterranean dan GP Mundogmus pada 6 dan 7 Mac depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI