fbpx

PKP jejas rantaian pembekalan Proton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Proton merekodkan jualan sebanyak 5,964 unit kenderaan pada Januari lalu, 29.9 peratus lebih rendah berbanding bulan sama tahun 2020 disebabkan pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penurunan berkenaan bagaimanapun bukan disebabkan kekurangan tempahan oleh pembeli, sebaliknya mencerminkan ketidakmampuan syarikat untuk memenuhi permintaan akibat gangguan pada rantaian pembekalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Januari merupakan bulan yang agak sukar bagi industri automotif tempatan.

“Kami mempunyai harapan tinggi momentum yang dibina pada akhir tahun lepas akan terus dibawa ke tahun baharu, terutamanya selepas pengumuman lanjutan insentif pengecua­lian cukai jualan kereta sehingga pertengahan tahun.

“Pengumuman PKP untuk kali kedua merencatkan momentum ini, namun Proton dan ahli-ahli lain dalam industri menyokong sepenuhnya langkah yang diambil kerajaan untuk mengawal jangkitan Covid-19,” katanya dalam ­kenyataan semalam.

Jumlah jualan industri pada Januari 2021 dianggarkan hanya sedikit melebihi paras 32,000 unit berikutan penurunan jualan yang signifikan bagi kebanyakan pemain industri.

Menerusi jualan 5,964 unit, Proton mengakhiri bulan Januari ditangga kedua dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 18.5 peratus, satu peratus lebih rendah berbanding Januari 2020.

Model terlaris Proton adalah Proton Saga dengan 2,583 unit dihantar kepada pembeli, diikuti X50 (1,082 unit) dan Persona (970 unit).

Menurut Roslan, PKP memberi kesan kepada jumlah pelanggan yang hadir ke bilik pameran, bagaimanapun syarikat masih boleh menerima tempahan secara online untuk meningkatkan jualan.

Namun jelasnya, rantaian pembekalan Proton yang terjejas disebabkan pandemik sebelum ini mengehadkan kemampuan syarikat untuk menghasilkan kenderaan disebabkan bekalan tidak konsisten.

“Situasi ini dihadapi semua pengeluar kenderaan sejak tahun lalu dan kami menaruh harapan ketibaan vaksin akan menstabilkan keadaan pada pertengahan tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI