STATUS selaku pemain import tidak menghalang kapten Kuala Lumpur United FC (KLUFC), Paulo Josue untuk memasang impian mengukir sejarah tersendiri selagi diberi kepercayaan menyarung jersi pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Josue, 32, berpeluang bergelar legenda The City Boys sebagai kapten import pertama menjulang kejuaraan bersama pasukan itu selepas bekas pemain tengah Yugoslavia, Zoran Nikolic melakukannya pada tahun 1993.
Ketika itu, Nikolic diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan menggantikan tempat Mohamed Razip Ismail untuk aksi final Piala FA 1993 yang menyaksikan Kuala Lumpur (KL) bergelar juara dengan menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Merdeka.
Justeru, Josue bertekad menjulang satu piala utama sebelum kariernya bersama pasukan itu berakhir selepas ini, sekali gus mengulangi kejayaannya memenangi saingan Liga Premier sewaktu musim pertamanya dengan KLUFC pada 2017.
“Impian setiap pemain bola sepak di dunia mahu menjulang piala tetapi tidak semua dapat melakukannya. Namun, kita mesti bekerja keras dan bermain secara satu pasukan dengan harapan dapat memenangi satu piala musim ini.
“Saya bersyukur masih dapat bermain bersama KL sekali lagi pada Liga Super. Harapan saya ialah supaya KL kekal dalam Liga Super dan melakukan sesuatu yang penuh bermakna untuk kelab ini,” kata pemain tengah berasal dari Brazil itu.
Josue percaya kemampuan KLUFC musim ini lebih ampuh dengan kehadiran beberapa pemain bernama besar antaranya Safee Sali, Muhammad Hadin Azman dan Muhammad Irfan Zakaria serta bekas penyerang import Terengganu FC, Dominique Da Sylva.
Sebagai rekod, Josue sudah menjaringkan 27 gol daripada 87 penampilan dalam semua kejohanan sepanjang empat musim bersama The City Boys sejak berhijrah dari kelab Brazil, Votuporanguense pada 2017.