KUALA SELANGOR – Walaupun baru dibebaskan empat hari dari penjara, seorang lelaki masih tidak serik apabila ditahan ketika cuba melarikan sebuah kereta di Taman Aman, Bukit Rotan di sini semalam.
Penahanan suspek berusia 39 tahun dilakukan pada pukul 8.15 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 35 tahun menghantar makanan kepada rakannya di kawasan berkenaan.
Mangsa kemudiannya turun dan meninggalkan keretanya jenis Proton Wira dalam keadaan enjin dihidupkan.
“Suspek masuk ke dalam kereta itu dan cuba melarikan kenderaan tersebut.
“Mangsa yang melihat kejadian itu mengejar sambil menjerit meminta tolong sebelum berjaya membuka pintu kereta.
“Berlaku pergelutan antara suspek dan mngsa sebelum pasukan polis yang melakukan rondaan menangkap suspek di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek baru dibebaskan dari penjara pada 27 Januari lalu atas kesalahan dadah, curi dan pecah rumah.
Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah termasuk dadah.
“Suspek kini direman selama tiga hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. -K!ONLINE