SINGAPURA – Pengasas bersama Google, Sergey Brin membuka sebuah pejabat keluarga di Singapura bagi membantu menguruskan kekayaannya, menjadikan beliau taikun terbaharu menubuhkan syarikat pelaburan persendirian di hab kewangan itu.
Syarikat yang menguruskan aset Brin membuka cawangannya di Singapura akhir tahun lalu, demikian menurut dokumen yang dikemukakan kepada badan kawal selia korporat.
Brin, 47, merupakan manusia kesembilan paling kaya di dunia dan memiliki kekayaan berjumlah AS$86.5 bilion (RM350.4 bilion).
Semakin ramai kelompok ultra kaya dunia memilih Singapura untuk membuka apa yang dinamakan sebagai ‘pejabat keluarga’ bagi menguruskan kekayaan dan kehidupan mereka, antaranya bilionair Britain, James Dyson.
Mereka tertarik dengan kadar cukai rendah, kestabilan politik dan insentif lain ditawarkan oleh pemerintah Singapura seperti membuka laluan kepada pelabur untuk mendapatkan status penduduk tetap
Singapura yang didiami 5.7 juta penduduk, mempunyai populasi ekspatriat yang besar di samping mempunyai sekitar 200 pejabat keluarga yang menguruskan aset berjumlah AS$20 bilion (RM81 bilion). – AFP