YANGON – Sebuah mahkamah Myanmar mendakwa pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi kerana melanggar undang-undang import dan eksport, kata seorang jurucakap parti pimpinannya, parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) hari ini.
Tuduhan itu dikenakan beberapa hari selepas tentera melakukan kudeta dan menahan Suu Kyi serta Presiden Myanmar, Win Myint. Kuasa pemerintahan kini berpindah kepada komander tentera, Jeneral Min Aung Hlaing.
Sejak rampasan kuasa pada Isnin lalu, ahli-ahli NLD tidak dapat menghubungi Suu Kyi namun, pegawai akhbar NLD, Kyi Toe berkata semalam bahawa seorang jiran melihat Suu Kyi di kediamannya di Naypyidaw di mana beliau dipercayai dikenakan tahanan dalam rumah.
Semalam Kyi Toe berkata, NLD menerima ‘maklumat boleh dipercayai’ bahawa sebuah mahkamah di Naypyidaw mereman Suu Kyi dan Win Myint selama 14 hari.
“Mahkamah Dakhinathiri mengeluarkan reman 14 hari dari 1 Februari hingga 15 Februari ini terhadap Suu Kyi di bawah pertuduhan melanggar undang-undang import dan eksport,” katanya di akaun rasmi Facebooknya.
Menurutnya, Win Myint turut dituduh melanggar undang-undang Pengurusan Bencana Nasional. – AFP