RIO DE JANEIRO – Cadangan pembinaan litar baharu Formula Satu (F1) yang akan dibina di Rio de Janiero, Brazil dibatalkan serta merta selepas mendapat tentangan hebat.
Pembinaan litar tersebut menimbulkan kontroversi apabila didakwa akan merosakkan alam sekitar dengan melibatkan penebangan ratusan pokok di sekitar hutan Camboata.
Perancangan pembinaan litar F1 tersebut mendapat kritikan hebat termasuk juara dunia tujuh kali F1, Lewis Hamilton dan juga pertubuhan pencinta alam.
Setiausaha Alam Sekitar Rio, Eduardo Cavaliere memberitahu bahawa datuk bandar Rio yang baharu, Eduardo Paes yang memegang jawatan tersebut bulan lalu telah mengarahkan agar proses untuk mendapatkan lesen kelulusan dibatalkan.
“Kami secara rasmi membatalkan pembinaan Litar Antarabangsa Rio di kawasan hutan Camboata,” kata Cavaliere.
Pembinaan litar baharu di hutan Camboata sebelum ini telah mendapat sokongan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dan juga bekas datuk bandar Rio, Marcelo Crivella dan sokongan itu telah mencetuskan kemarahan masyarakat umum.
“Kita perlu memikirkan tentang pemulihan tanaman hijau, bukan menghancurkannya. Hutan Camboata mempunyai ratusan spesies pokok, termasuk 14 spesies tumbuhan terancam,” kata penduduk setempat.
Grand Prix (GP) Brazil telah diadakan di Litar Interlagos, Sao Paulo sejak tahun 1990, namun kontrak penganjuran perlumbaan tersebut berakhir hujung tahun lalu.
Musim lalu, perlumbaan dibatalkan akibat krisis Covid-19 dan Brazil antara negara yang paling teruk terjejas. – AGENSI