PETALING JAYA – Felda Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Felda Lasah di Kuala Kangsar, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 17 Februari 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lagi kawasan dikenakan pelaksanaan PKPD bagi tempoh sama adalah Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Berang dan Kampung Besi Api di Kuala Kangsar.
“Sehingga 1 Februari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 420 ujian saringan di Felda Tersat dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Felda Tersat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Tapak Bina Kuarters TNB Kuala Berang pula selepas sebanyak 62 kes positif Covid-19 direkodkan di situ, manakala 35 kes Covid-19 direkodkan di Felda Lasah dan Kampung Besi Api.
Jelas beliau, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar bagi mengawal jangkitan dalam komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata, seramai 611 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam dan daripada jumlah itu, 601 dikompaun manakala 10 individu direman.
Kata beliau, antara kesalahan direkodkan tidak memakai pelitup muka (145), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (109), tiada penjarakan fizikal (107) dan gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (87).
“Kesalahan lain adalah premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (50), keluar rumah tanpa alasan munasabah (31) dan lain-lain (82),” katanya. – K! ONLINE