fbpx

Nicol David terus jadi kebanggaan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NICOL mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa selepas dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia menerusi undian secara dalam talian.

BEKAS ratu skuasy tanah air, Datuk Nicol Ann David terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa selepas dinobatkan sebagai Atlet ­Terunggul Sepanjang Zaman Sukan ­Dunia.

Menerusi undian yang dilakukan secara dalam talian, bekas pemain No. 1 dunia itu mendapat 318,943 undian, jauh meninggalkan atlet tarik tali Ireland, James Kehoe yang memperoleh 113,120 undian.

Lebih membanggakan, Nicol adalah satu-satunya atlet Asia yang dicalonkan untuk anugerah tersebut dan beliau berjaya menewaskan 23 calon lain.

Bekas pemain berusia 37 tahun itu dianggap layak me­rangkul anugerah itu berdasarkan pencapaian yang dilakukan sepanjang kariernya sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 2019.

“Saya sangat gembira dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata perasaan ketika ini. Satu penghargaan yang cukup besar, terima kasih Malaysia serta komuniti skuasy.

“Sudah tentu saya sangat terkejut dengan anugerah ini kerana perlu bersaing dengan atlet-atlet terbaik. Saya harap ia mampu membuka mata semua pihak berhubung masa depan sukan skuasy,” kata Nicol.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengalungkan ucapan tahniah kepada juara dunia lapan kali itu atas anugerah berkenaan.

Pada masa sama, beliau juga berharap generasi muda menjadikan kejayaan anak kelahiran Pulau Pinang itu sebagai inspirasi dalam bidang masing-masing.

“Tahniah Nicol, anda kebanggaan negara. Saya berkongsi rasa bangga dengan seluruh peminat sukan tanah air khususnya skuasy atas kejayaan bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David atas Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.

“Saya harap kejayaan Nicol mampu menyuntik semangat seluruh rakyat Malaysia dalam mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Undian bagi anugerah yang dikendalikan Sukan Dunia itu bermula 15 Januari lalu manakala 10 atlet dengan undian tertinggi bersaing merebut anugerah ber­kenaan bermula 20 Januari lalu.

Nicol mengharungi karier yang cukup cemerlang sepanjang bergelar atlet apabila pernah memegang status pemain No. 1 dunia selama sembilan tahun berturut-turut selain memenangi 81 kejuaraan profesional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI