PRESIDEN Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali mengakui emosi dan mental pemain pasti terjejas jika saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguh atau dibatalkan musim ini ekoran Covid-19.
Bukan sahaja pemain dan pasukan malah peminat juga turut terkesan dengan penangguhan atau pembatalan Liga M selain kesukaran pihak penaja untuk menaja liga jika situasi ini berterusan.
Safee yang mewakili Kuala Lumpur United FC (KLUFC) berkata, bola sepak adalah sumber pendapatan tunggal kepada pemain profesional dan sukar untuk menerima jika liga dibatalkan kerana situasi itu memberikan kesan kepada kemampuan pasukan dalam membayar gaji.
“Saya mewakili pemain-pemain lain boleh menerima keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan Liga M kepada 5 Mac berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Cuma saya harap tidaklah sampai dibatalkan, impaknya besar kepada pemain dan pegawai yang terlibat, jadi saya harap Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh memberi kelonggaran dalam soal ini.
“Inilah satu-satunya pendapatan kami dan saya harap MKN dapat melihat akan kepentingan dari sudut ekonomi kerana industri bola sepak sebenarnya cukup besar di negara ini.
“Sebagai balasan, segala SOP yang akan dibentangkan nanti, kami sebagai pemain akan ikuti tanpa sebarang masalah biarpun mungkin lebih ketat berbanding sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, MFL telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga M bagi musim 2021 pada 5 Mac susulan PKP di semua negeri kecuali Sarawak sehingga 18 Februari depan.
Mengikut perancangan awal, Liga M akan membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari.
Malah, MFL turut mengesahkan bahawa penganjuran saingan Piala FA telah dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut musim ini susulan penangguhan liga yang dilakukan.