LONDON – Pengurus West Ham United, David Moyes sedia untuk menurunkan pemain baharu, Jesse Lingard pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa di Villa Park awal pagi esok.
Pemain berusia 29 tahun itu menyertai The Hammers dari Manchester United secara pinjaman pada jendela perpindahan musim sejuk selepas jarang digunakan di Old Trafford.
Kata Moyes, meskipun baru menjalani beberapa sesi latihan, namun beliau percaya Lingard sudah bersedia sepenuhnya untuk diturunkan menentang Villa.
“Saya harap Jesse (Lingard) tidak ada masalah untuk diturunkan ketika bertemu Villa nanti. Kami perlukan khidmatnya bagi mengisi kekosongan yang ada dalam skuad utama.
“Bagaimanapun, saya akan membuat penilaian serta memantau tahap kecergasannya memandangkan dia sudah lama tidak beraksi bersama United sebelum ini,” ujarnya.
Bekas pengendali Manchester United itu juga mengakui masih kecewa dengan kekalahan kepada Liverpool sebelum ini dan sedia menjadikan Villa sebagai mangsa melepas geram.
“Sudah tentu kami sangat kecewa dengan kekalahan itu kerana kami boleh bermain lebih baik. Saya harap semua pemain akan bangkit daripada kekalahan itu ketika bertemu Villa,” katanya. – AGENSI