fbpx

‘Muzik hip hop pun ada jaminan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE FLIZZOW

JIKA bukan kerana Joe Flizzow yang pernah menganggotai kumpulan rap Too Phat bersama sahabatnya, Malique suatu ketika dahulu, nuansa muzik hip hop di negara ini tidak akan berada pada tahap sekarang.

Anda bebas untuk tidak bersetuju dengan pendapat sebegitu. Tiada bantahan.

Dilambungkan persoalan apa dan bagaimana pendapat Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 41, tentang industri muzik hip hop sekarang yang terus berkembang maju, lelaki itu tersenyum sebelum melontarkan buah fikiran yang cukup padu.

Hip hop Malaysia ‘sihat’

Kata Joe, perkembangan muzik hip hop tanah air kini sangat ‘sihat’. Biarpun sudah membawa haluan solo, namun misi mereka (Too Phat) untuk melihat kemajuan genre hip hop tidak pernah terpadam.

“Ketika kami muncul dengan genre ini, hip hop dikuasai beberapa individu sahaja. Saya ingat lagi, bagi kategori Lagu Hip Hop Terbaik pada acara Anugerah Industri Muzik (AIM), lagu ciptaan Too Phat mendominasi senarai pencalonan.

DEDAH Joe, impian sebenarnya pada waktu kecil ialah menjadi seorang pemain bola sepak, namun semuanya tidak kesampaian memandangkan dia tidak begitu mahir dalam sukan berkenaan. – IHSAN UNIVERSAL MUSIC

“Sedangkan ada ramai lagi penyanyi daripada genre ini menanti peluang sama. Situasi itu menyedarkan saya betapa perlu berbuat sesuatu untuk mengetengahkan golongan itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi rap berbakat. Cuma mereka tidak diberi peluang. Disebabkan itu, saya menubuhkan label Kartel Records. Saya juga menghasilkan program 16 Baris untuk mencari penyanyi berbakat dari dalam dan luar negara,” kata Joe kepada HibGlam pada majlis pelancaran muzik video Ciao secara maya baru-baru ini.

Kini, dia berbangga melihat ramai bakat baharu tempatan yang mewarnai muzik hip hop tanah air. Ujarnya, dia gembira melihat semakin ramai anak muda berminat menyertai komuniti itu.

“Hari ini, kita lihat ramai pelapis muda menyinar dalam senario muzik hip hop seperti kumpulan K-Clique dan Yonnyboii. Saya masih ingat beberapa tahun lalu, Yonnyboii pernah menghantar mesej peribadi kepada saya untuk meminta tunjuk ajar.

“Saya bimbing apa yang patut dan lihatlah di mana kedudukannya hari ini. Saya puas dapat membimbing dan berkongsi pengalaman dengan anak muda yang bakal menjadi pelapis pada masa akan datang.

“Seperkara yang membuatkan saya bangga juga, kalau kita lihat dalam mana-mana majlis anugerah, kebanyakan penarinya lahir daripada genre muzik hip hop.

“Walaupun sudah lebih dua dekad, wajah-wajah mereka masih lagi diperlukan untuk mengiringi persembahan penyanyi. Itu menunjukkan muzik hip hop boleh dijadikan kerjaya untuk menjamin masa depan mereka,” luahnya panjang lebar.

JIKA bukan disebabkan Covid-19 yang masih belum surut sejak Mac tahun lalu di negara ini, Joe sebenarnya bercadang untuk terbang ke Korea Selatan bersama MK untuk menjalani penggambaran muzik video Ciao di sana.

Kemaraan rapper wanita

Ditebak pertanyaan tentang kemaraan penyanyi rap wanita di negara ini, Joe sering kali menyebut nama Zameera.

Joe berpendapat, ramai penyanyi rap wanita tempatan berbakat besar dan wajar diberikan peluang untuk menyinar.

“Muzik dan hip hop kadang-kadang boleh jadi tidak adil kepada penyanyi rap wanita. Penonton merasakan kalau perempuan menyanyi rap, ‘benda itu tak susah’, ‘dia tak boleh battle’ dan begitulah.

“Tetapi tengoklah beberapa episod 16 Baris. Beberapa penyanyi rap lelaki kena ‘tapau’ dengan penyanyi rap wanita.

“Pada masa sama, boleh membuat persembahan, menari dan menyanyi ialah satu perkara tetapi untuk berjaya membuatkan orang berhenti dan dengar, itu satu perkara lain.

“Sesekali, hentikan muzik, saya mahukan semua orang untuk dengar dan itulah waktunya apabila orang akan mula memberi apresiasi kepada penyanyi rap wanita kita,” katanya.

Ungkap Joe, ramai penyanyi rap wanita sekarang mempunyai kualiti setanding yang lelaki.

“Akan tiba masanya masyarakat akan cakna rapper wanita ramai yang bagus. Mereka berpendirian tegas, punya kebijaksanaan dan ada isi. Waktu itu akan datang. Saya pasti, suatu hari nanti.

“Mereka perlu diberikan peluang dan ruang. Kita boleh jadi ikan paling besar dalam kolam tetapi kalau cuaca kemarau tiada air, tak jadi apa juga. Jadi, kita sentiasa kena beri ruang sesiapa berkembang tidak kira jantina,” katanya mendalam.

SELEPAS kerjasama pertama dengan Jay Park menerusi lagu Twisted Dreams yang dimuatkan dalam album, The Road Less Traveled, Joe mempelawa semula Jay berkolaboratif dalam single terbaharunya, Ciao.

‘Jangan kejar trofi’

Melanjutkan bicara, Joe bercakap tentang kemaraan genre hip hop, terutama dalam acara berprestij Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35). Tiga lagu hip hop diangkat sebagai finalis iaitu 7 Nasihat, Eh! dan Gila.

Biarpun kejayaan awal tersebut dilihat sebagai suatu pengiktirafan kepada pencinta genre muzik hip hop, Joe berharap anak seni tidak menjadikan anugerah sebagai faktor utama untuk berkarya.

“Jangan kita berkarya sebab mengejar trofi. Tidak salah jika kita ada sasaran tertentu kerana itu dapat memberi motivasi.

“Namun, apa yang penting ialah niat kita sendiri. Kalau hendak tulis lagu, niat kenalah betul iaitu memberikan hasil terbaik.

“Bercakap tentang AJL35, walaupun saya sedikit kecewa apabila lagu kegemaran tidak lolos, namun kejayaan tiga lagu menandakan industri sudah mengiktiraf muzik hip hop dengan serius.

“Saya harap kejayaan itu dapat membakar semangat artis hip hop lain untuk terus melahirkan karya berkualiti,” kata Joe yang cukup sinonim dengan gelaran Mr. President terutama dalam komuniti hip hop.

Sebelum ini, Joe memecah dominasi muzik lazim seperti pop apabila lagunya, Apa Khabar bersama SonaOne diangkat sebagai juara keseluruhan pada AJL29.

Melanjutkan perbualan tentang single terbaharunya berjudul Ciao yang turut menampilkan bintang antarabangsa, Jay Park dan nadi utama, K-Clique, MK, Joe berkata, lagu berkenaan disiapkan sekitar hujung Februari tahun lalu.

“Saya hantar mesej (DM) kepada Jay Park. Sebenarnya, ini lagu kedua saya tawarkan kepada dia. Lagu pertama saya rasa macam ada yang tak kena.

“Dua hari selepas mesej dihantar, Jay Park hantar bahagian nyanyiannya yang sudah siap. Saya rasa saya boleh jadi duta Malaysia di Korea Selatan (ketawa).

“Ini kali kedua saya berkolaborasi dengan Jay Park,” kata Joe dalam nada seloroh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI