fbpx

Diskaun 50 peratus daftar hak cipta, galak pemilik karya mohon perlindungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan (tengah) hadir pada Majlis Perasmian Hari Harta Intelek Negara 2025 Muzik Kita Milik Kita di Menara Mylpo PJ Sentral, hari ini.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan potongan 50 peratus bagi permohonan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2025, bermula Sabtu ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, diskaun itu diberikan selama enam bulan melibatkan karya muzik, rakaman bunyi serta hasil berkaitan muzik yang dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Kalau kita mahu perjuangkan isu hak cipta dan royalti muzik, ia perlu bermula daripada kesedaran pemilik karya sendiri seperti pengkarya, artis dan penerbit.

“Jadi, saya harap golongan ini ambil peluang ini untuk mendaftarkan harta intelek masing-masing,” katanya pada Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2025, hari ini.

Menurutnya, meskipun sebanyak 9,363 permohonan hak cipta direkodkan tahun lalu melibatkan tujuh kategori, hanya 95 permohonan berkaitan karya muzik dan 65 melibatkan rakaman bunyi.

Malah ujarnya, sehingga 15 April lalu, hanya tiga permohonan berkaitan karya muzik dan 23 permohonan rakaman bunyi diterima daripada keseluruhan 1,958 permohonan yang dikemukakan.

“Kita perlu tingkatkan program kesedaran agar lebih ramai memahami kepentingan mendaftar hak cipta demi melindungi karya mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pentadbiran Harta Intelek Nasional China bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang harta intelek.

MoU tersebut ditandatangani ketika lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu lalu, sekali gus memperbaharui kerjasama dua hala yang dimulakan sejak 2015.

“Antara fokus MoU ialah berkaitan perlindungan petunjuk geografi yang berpotensi merangsang pembangunan ekonomi setempat melalui pengiktirafan produk tempatan, selain pembangunan teknologi serta pemerkasaan pemeriksaan paten,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI