PETALING JAYA – Petronas Dagangan Berhad merekodkan jumlah jualan tertinggi pada tahun 2024 sebanyak 16.8 bilion liter bahan api, mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran segmen runcit dan komersial.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunannya Ke-43 hari ini, Petronas Dagangan berkata, hasil berjumlah RM37.95 bilion dipacu oleh volum jualan yang lebih tinggi, manakala keuntungan operasi menyaksikan peningkatan ketara 15 peratus kepada RM1.55 bilion.
Susulan keuntungan operasi lebih tinggi, untung sebelum cukai meningkat 15 peratus kepada RM1.53 bilion, sementara keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM1.12 bilion, mengatasi paras RM1 bilion buat pertama kali sejak pandemik.
Dividen setahun penuh sebanyak RM1.07 sesaham, termasuk dividen khas 20 sen diterjemahkan kepada pembayaran dividen 100 peratus, jauh melebihi polisi kadar dividen 50 peratus daripada PAT.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, tahun lalu memberi peringatan kepada pihaknya bahawa kekal berpijak di bumi nyata dalam aspek tujuan, pelanggan dan pelaksanaan adalah faktor yang membawa syarikat ke hadapan.
“Apabila keperluan semakin berkembang dan landskap berubah, kami bergerak ke hadapan dengan fokus dan niat yang jelas, sambil berpegang teguh kepada perkara yang menjadikan kami berbeza, iaitu keupayaan untuk mencipta pengalaman yang lebih mudah dan lebih baik dalam kehidupan seharian,” katanya. – KOSMO! ONLINE