PETALING JAYA – Anak kedua kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meraih keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Perkongsian itu dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook milik Ahli Parlimen Nibong Tebal tersebut, yang turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan SPM hari ini.
Dalam hantaran tersebut, Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada anak keduanya yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
“Kami sayang awak dan sentiasa menitipkan doa buat awak. Tahniah buat semua anak-anak yang mengambil keputusan SPM hari ini, khususnya buat anakanda kesayangan kami, Sarah,” katanya.
Beliau turut berpesan agar ibu bapa terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada anak-anak, tanpa mengira keputusan yang diterima.
“Apa jua keputusan mereka, ucapkan tahniah dan bersyukurlah. Reda dengan ketentuan kerana ia adalah hasil usaha anak-anak mengikut kemampuan masing-masing. Teruskan memberi pedoman agar mereka terus melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE